Sunday, June 7, 2009

Kisah Nabi Yahya a.s

Nabi Yahya adalah seorang nabi dari Bani Israel. Pada ketika itu, ada tiga orang nabi yang dibangkitkan serentak, iaitu nabi Zakaria, Yahya dan nabi Isa. Nabi Zakaria seorang yang dihormati dikalangan kaumnya. Baginda adalah seorang tukang kayu. Baginda tidak dikurniakan zuriat hinggalah umurnya 90 tahun. Ketekunan Baginda berdoa memohon zuriat akhirnya diperkenankan Allah. Allah merakamkan kisah ini di dalam al-Quran di dalam surah al-Anbiya ayat 90;- "Lalu Kami perkenankan permintaannya, dan Kami berikan Yahya kepadanya, dan Kami jadikan isterinya berkesanggupan (untuk mengandung); sesungguhnya mereka telah berlumba-lumba dalam usaha-usaha kebaikan, dan mereka berdoa kepada Kami dengan pengharapan dan perasaan takut, dan mereka adalah orang-orang yang tunduk hatinya kepada Kami." Di dalam surah Maryam ayat ke 7, Allah mengatakan bahawa:- "Hai Zakaria!, sesungguhnya Kami menyampaikan berita gembira kepada engkau (akan beroleh) seorang anak laki-laki, namanya Yahya, yang belum Kami berikan sebelumnya nama yang serupa itu." Nabi Yahya pun lahir. Dia dilahirkan enam bulan sebelum Nabi Isa dilahirkan. Kedua-dua anak kecil ini iaitu Yahya dan Isa dibesarkan dengan pendidikan agama. Kedua-dua ini akhirnya dilantik menjadi Rasul. Mengenai Nabi Yahya, Allah telah menyatakan bahawa:- "Hai Yahya, ambilah al-Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih anak-anak, dan rasa belas kasihan yang mendalam dari sisi Kami dan kesucian (dari dosa). Dan ia adalah seorang yang bertakwa, dan banyak berbakti kepada kedua orang tuanya, dan bukanlah ia orang yang sombong dan durhaka. Kesejahteraan atas dirinya pada hari ia diiahirkan, dan pada hari itu ia meninggal dan pada hari ia dibangkitkan kembali". Surah Maryam, Ayat 12-15 Nabi Yahya adalah seorang Nabi terkenal dengan seorang yang sangat penyayang. Baginda juga di sayangi bukan sahaja oleh manusia, malahan juga burung-burung dan haiwan. Bagi pandangan orang Kristian, nabi Yahya yang telah membaptiskan (mandi wajib) Nabi Isa di sungai Jordan. Di kalangan orang kristian, baginda dikenali sebagai John the Baptist. Ketika Nabi Isa telah diangkat ke langit, semua permasalahan kehidupan beragama telah dirujuk kepada Nabi Yahya. Raja Herod Agripa yang telah mengeluarkan arahan membunuh Isa akhirnya membuat angkara lagi. Kali ini, sang Raja telah menaruh hati kepada anak saudara perempuanya. Dia ingin memperisterikan anak saudaranya ini. Di dalam syaraiat, seseorang tidak boleh berkahwin dengan anak saudaranya sendiri. Hal ini ditegah oleh Nabi Yahya a.s. Baginda diperintahkan untuk mengubah hukum ini ataupun hukuman bunuh dikeluarkan sebagaimana perintah bunuh pada Isa a.s. Ini kerana ada sesetengah ahli kitab yang sanggup meminda hukum Allah ini. Nabi Yahya tetap denga pendiriannya, tidak akan mengubah hukum Allah. Akhirnya, pada satu malam, ketika baginda sedang beribadah, datanglah sekumpulan tentera upahan menyembelih baginda dan mencincang badannya. Kepalanya dihantar kepada Raja Herod Agripa sebagai bukti perintah telah dilaksana. Kepala ini kemudiannya di arak untuk menjadi ancaman sesiapa yang berani melawan raja. Kepala ini di arak hingga ke Damsyik. Kemudian seseorang telah mengambil kepala ini dan telah mengebumikannya di Damsyik. Sekarang, makam kepada Nabi Yahya ini ada di dalam masjid Umawi di Damsyiq Syria. Badannya yang dicincang dikebumikan sekitar Jerusalem. Kini, tidak ada orang yang tahu tempat sebenar makam ini terletak. Cuma, terdapat potongan tangan Nabi Yahya diambil dan disimpan di Gereja Virgin Marry. Tangan ini kemudiannya diambil dan dan diletakkan di bawah jagaan Gereja Koptik di Mesir. Pada ketika Sultan Salem 1 dari Khilafah Uthmaniah menawan Mesir, tangan ini diamanahkan kepada baginda. Kini, tangan Nabi Yahya ini ada disimpan di Muzium Topkapi di Istanbul Turki. Menziarahi Topkapi dan Masjid Umawai, menghubungkan pengetahuan mengenai satu tubuh yang dicerai-ceraikan kerana mempertahankan syariat ilahi. Di syurga nanti, seluruh para Nabi, para Siddiqin, para syuhada’ dan para solihin akan dikumpulkan. Akan diganti segala kepahitan mempertahankan agama ketika di dunia dengan kemanisan syurga yang kekal abadi. Sedangkan para penzalim di dunia, yang takabbur di dunia, akan disembamkan ke gaung neraka yang tidak tergambar dek akal. Semuanya terhina dan terazab lantaran apa yang telah mereka lakukan di dunia ini.
 
Google SEO sponsored by Red Dragon Electric Cigarette Products